Sunday 18 August 2013

Kisahku di Sekolah Menengah



                                  SMK Dato' Haji Talib Karim



Sepanjang 19 tahun ini, ku rasakan hampir 70% garam yang orang2 tua makan, sudah ku makan. Mana tak nya, sudah banyak aku lihat, sudah banyak aku rasa, sudah jauh aku tempuh, akhirnya aku adalah aku. Beratkah? Penatkah? Sakitkah? Semuanya aku sapu. Tanpa kira umurku belum laksana tercapai.

Ku mula hari pertama ku sebagai orang yang lagaknya dewasa, tetapi di mata orang, hingusan pun belum. Peramahnya aku, cerianya aku kerana senyuman yang selalu diberikan, selalu menjadi kegembiraan sahabat seumur. Bak kata rakan ku, “bibir mira tu memang selalu tersenyum, susah nak tengok dia ketawa kecil, tapi bila dah ketawa, semua orang tengok dia...”. Itulah rakan. Pengaruh mereka ke atas diri kita sebenarnya adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Baik diri kita sebagai contoh kepadanya, buruk dia sebagai pengingat diri kita. Tapi bukan semua orang boleh lakukannya. Ye, kita manusia.

Mataku terbuka dek kesosialan sekolah menengah. Semua ajaran ibu dan ayah masih tidak ku ketepikan, tetapi, aku mendapat ajaran baru. Tidak pasti ianya baik atau buruk.

Aku bertemu cinta. Siapa cinta? Mungkin boleh memberi peransang kepadaku untuk berlumba berebut kejayaan, mungkin boleh membantuku sewaktu ulangkaji pelajaran dan mungkin dapat membahagiakan aku diwaktu aku sedih. Tetapi entah mengapa cinta yang aku jumpa itu tidak baik untukku, jahat. Gred peperiksaan aku turun serta merta kerana cinta. Malah, ahhh...sakitnya hati bila bercinta. Sungguh mengganggu akal fikiran! Bertubi-tubi nasihat ibu berikan. Aku terima. Tetapi??!!!!! Tidak dilaksanakan! Aku pernah terdengar “esok kalau kau jadi mak bapak baru kau tahu susahnya menjaga anak ni tau!..”. Akal ku masih mentah. Selama dua tahun aku melalaikan sendiri pelajaranku walaupun aku tahu pelajaran itu amat penting. Masuk tahun ketiga, akal ku mula ku rebus, barangkali sudah separuh masak dan tidak berapa mentah. Aku sudah mula kuatkan agama di dalam diriku, memberi perlindungan zahir dan batin. Aku mula ingin belajar kerana risaukan kedudukan gred aku di dalam kelas pertama itu. Di dalam hati ini ada juga membisikkan, “ Apa nak jadi mira kalau markah kau teruk macam ni.. kau nak malukan ibu dengan ayah kau ke, kau dah la banyak susahkan mereka..!”. Kesedaran itu ku gagahi dengan setapak walaupun ku tahu aku sudah masuk tahun ketiga. Dalam masa kurang 4 bulan, aku tidak toleh mana-mana dan hanya pelajaran menjadi bantalku, menjadi makananku, menjadi duniaku dan menjadi kepentinganku. Sebelum mengambil peperiksaan besar PMR, aku rasa diriku mampu menguasai soalan-soalan yang bakal diajukan.

Alhamdulillah, dengan berkat dari doa ibu bapaku, doaku, dan berkat ajaran guru-guruku, aku berjaya membahagiakan ibu ayahku dengan keputusan itu. Di situlah pengalaman betul-betul memberikan aku pengajaran erti kehidupan, yang selama ini aku lalui. Memang berat, penat dan sakit sebenarnya pengalaman itu, tetapi itulah yang paling berharga di dalam kehidupan. Jatuh? Ku bangun semula, jika tidak ku bangun, siapa nak tolong bangunkan? Malah aku akan terduduk sampai bila-bila.


                                           MRSM Serting

Aku menyambung kehidupanku di sebuah MRSM di Negeri Sembilan. Di situ, semasa pendaftaran, aku menyelesaikan segala urusan kemasukan di sekolah tersebut, oh, tidak lupa juga, aku membawa pengalaman pahit dan manis yang aku telah lalui dulu bersama-samaku. Bimbang hujan ditengah panas, aku sudah sediakan air di dalam tempayan. Setengah pun ok lah. Haha.

Tidak banyak pengalaman yang ku peroleh semasa di MRSM, tetapi aku tidak buang. Aku kutip untuk memenuhi tempayan itu. MRSM banyak mengajar aku tentang masyarakat. Dan itu masih berguna untukku di luar nanti. Alhamdulillah aku dapat membaca pengalaman itu sebaik-baiknya. Ku melangkah keluar dari MRSM sebagai seorang pelajar yang mempunyai akhlak yang baik. Aku tidak menyebut pelajaran bukan kerana aku tidak mementingkannya, tetapi kerana akhlak itulah yang membentuk pelajaran.

Apa yang ada kini setelah aku meninggalkan sekolah menengah? Sungguh banyak untuk disenaraikan, tetapi cukuplah untuk mengenal erti pengalaman yang mendawasakan kita di dalam kehidupan ini. Dari sekecil-kecil perlakuan sehinggalah yang besar, semua itu adalah pengalaman yang amat bernilai. Sesungguhnya berat untuk menjadi baik, walaupun buruk, cubalah menjadi yang lebih baik. 

Tiada siapa yang ingin duduk di dalam sebuah rumah yang usang. Jika seseorang mengemas rumah usang tersebut, ianya akan menjadi cantik dan orang ingin duduk di rumah usang tersebut. Tetapi, ketahuilah, rumah usang itu tidak akan menjadi cantik dengan sendirinya.

Jika kita lapar, ibu bapa akan menyediakan kelengkapan makanan untuk kita. Mereka meletakkannya di atas meja. Tetapi ketahuilah, jika kita hanya merenung makanan tersebut tanpa berbuat apa-apa dengan harapan ingin kenyang, maka kita tidak akan kenyang melainkan kita sendiri yang memasukkan makanan itu kedalam mulut.

Berubahlah sedikit walaupun sekecil zarah. Kita tahu keupayaan diri kita, tiada manusia biasa yang dilahirkan sempurna, namun masih ada keistimewaan yang diberikanNya kepada kita.